Hadrah BaSaudan adalah kumpulan zikir, munajat, ibtihal, qasidah dan tawassul yang disusun oleh Syaikh ‘Abdullah bin Ahmad BaSaudan. Tetapi dikatakan bahawa susunan awalnya adalah daripada Habib ‘Umar bin ‘Abdur Rahman al-Baar lalu dilanjutkan oleh muridnya Syaikh ‘Abdullah BaSaudan dan akhirnya disempurnakan oleh Habib ‘Abdur Rahman al-Masyhur, pengarang “Bughyatul Mustarsyidin”. Oleh itu di sesetengah tempat, hadrah ini dikenali sebagai “Hadrah al-Baar”, sempena syaikh futuh Syaikh ‘Abdulah BaSaudan, Habib ‘Umar bin ‘Abdur Rahman al-Baar.
Seluruh ulama Tarim, Hadhramaut sangat mengetahui Hadrah ini memiliki manfaat yang sangat banyak sebagai wasilah memohon daripada Allah akan segala rahmat, pemeliharaan, keselamatan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Di Tarim, setiap hari Selasa selalu digelar majlis-majlis pembacaan Hadrah Basaudan di banyak tempat, antaranya di Rubath Tarim, di kediaman al-Mufti al-Habib ‘Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur, di kubah al-Habib Abu Bakar Basymeleh Zanbal, di madrasah Habib Abdullah bin Syeikh al -Aydrus, dan di masjid- masjid yang lain, bahkan juga di rumah-rumah penduduk. Majlis yang diadakan setiap Selasa di rumah Habib ‘Abdur Rahman al-Masyhur dikepalai oleh al-Habib Ali Masyhur bin Muhammad BinHafiz, kekanda Habib ‘Umar BinHafiz. Kini, majlis-majlis Hadrah BaSaudan mula berkembang ke seluruh dunia Islam. Semoga keberkatannya dapat kita rasai, istimewa pada zaman yang penuh dengan pancaroba dan petaka ini.
sumber : its.ac.id/syafii
0 komentar:
Posting Komentar